Wednesday, June 18, 2008
Jahil intipati islam gagal perkasakan agama
FOBIA Islam? Apakah kerana Islam itu virus yang boleh berjangkit atau budaya amalan warisan nenek moyang atau pun ideologi bawaan manusiawi?Soalnya mengapa fobia Islam dengan melabelkan agama suci itu sebagai agama keganasan, bukan agama lain seperti Yahudi, Kristian, Hindu, Buddha atau apa sahaja agama penyembahan selain Allah SWT, rekaan manusia yang tidak menepati fitrah insani?Islam adalah al-Quran. Tidak ada agama di alam ini yang mempunyai kitab selengkap al-Quran untuk membimbing hidup dan menjadi panduan bagi memberi nur pada seluruh isi alam.Isi kandungan al-Quran yang tidak pernah berubah walau sebaris ayat sejak diterima oleh Nabi Muhammad SAW lebih 14 abad lalu hingga hari ini.Malah al-Quran mengakui dan mengiktiraf semua kitab-kitab samawi sebelumnya (Injil, Taurat, Zabur dan risalah-risalah sebelumnya - dari langit).Al-Quran yang diwahyukan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW menjadi sumber rujukan seluruh manusia yang telah dan mahu berjaya.Melalui al-Quran, manusia membina tamadun, mereka cipta sains dan teknologi, meneroka serta mengembangbiakkan pelbagai cabang keilmuan, tetapi kebanyakan merekalah yang memusuhi Islam.Model al-Quran pula ialah Rasulullah SAW, nabi dan rasul akhir zaman, sebagaimana firman Allah SWT: Dan tiadalah Kami mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam (Nabi Muhammad di utus oleh Allah SWT kepada penduduk dunia seluruhnya sebagai rahmat dan nikmat yang besar). (al-Anbiya’: 107).Dalam ayat lain, Allah berfirman: Dan Kami tidak mengutus kamu (wahai Muhammad), melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan, tetapi kebanyakan manusia tiada mengetahui. (Saba’: 28)Paling penting, hanya Islam agama diterima di sisi Allah s.w.t. sebagaimana mafhum dalam firman-Nya: Sesungguhnya agama (yang di redai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang telah diberi Al Kitab (maksudnya ialah Kitab-Kitab yang diturunkan sebelum al- Quran) kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barang siapa yang kafir terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat hisab-Nya. (Ali’ Imran: 19)Manusia bagaimana pun kata Presiden Pergerakan Keadilan Sedunia (Just), Prof. Dr. Chandra Muzaffar, jahil mengenai konsep dan intipati agama (Islam) itu sendiri.“Ketidakfahaman mengenai Islam itu terutamanya oleh penganut dan pemimpin Islam iaitu orang Muslim itu sendiri menyebabkan agama suci ini disalah tafsir oleh musuhnya.“Kepelbagaian etnik, budaya fahaman yang diwarisi secara turun temurun dan amalan hidup yang bercampur aduk pula menjadikan manusia itu tidak tahu membezakan antara ajaran dan tuntutan agama dengan budaya serta warisan,” katanya.Beliau berkata demikian semasa membicarakan tajuk ‘Islam dan Masa Depan Dalam Hubungan Antara Etnik di Malaysia’ di majlis forum kelolaan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di Kuala Lumpur, baru-baru iniMajlis itu dipengerusikan bersama oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Institut Antarabangsa dalam Pengajian Kemajuan Islam (IIAIS), Prof. Dr. Mohammad Hashim Kamali dan Pengerusi dan CEO ISIS, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan.Forum keilmuan anjuran ISIS merupakan perbincangan ilmiah yang terbuka tanpa pengaruh ideologi, kepercayaan mahupun fahaman kepartian dan fahaman individu atau organisasi.Malah tegas Dr. Chandra, tidak faham dan jahil terhadap sejarah etnik dan budaya masing-masing telah memesongkan tuntutan agama dan menjadi punca keretakan hubungan yang akhirnya mencetuskan permusuhan.Beliau yang juga pensyarah Pengajian Global di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang berkata, keperkasaan Islam di Malaysia banyak bergantung kepada ahli politik yang berkuasa terutama dari kalangan tokoh-tokoh dalam UMNO.“Sejarah telah mencatatnya dan kita tidak boleh menolak atau menafikan hakikat tersebut, walaupun ahli politik parti Pas yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan mereka,” ujarnya.Menurut beliau, walaupun corak dasar pemerintahan UMNO adalah liberal yang demokrasi, tetapi organisasi itu merupakan wakil induk bangsa Melayu yang beridentitikan Islam dari dulu hingga kini.Pas yang penubuhannya berteraskan Islam bukan Melayu semata-mata, sudah menjurus kepada dasar liberal kerana memenuhi tuntutan semasa.“Sebab itu dalam kebanyakan hal yang melibatkan Islam dan agama, UMNO serta Pas boleh mengetepikan ideologi masing-masing untuk kepentingan ummah,” ujarnya.Sehubungan itu, Dr. Chandara meminta orang bukan Islam menerima dan menghormati Islam bagi memastikan kestabilan, keharmonian dan keamanan hidup masyarakat pelbagai kaum serta etnik di Malaysia terus kekal stabil.Menjawab soalan hadirin yang terdiri daripada ahli akademik, penggubal dasar, pentadbir, ilmuwan, aktivis, ahli perniagaan dan wakil-wakil kedutaan asing beliau berkata: “Islam adalah cara hidup terbaik dan agama universal yang relevan sepanjang zaman.Menurut Dr. Chandra, Islam bukan hanya untuk seluruh manusia, tetapi seluruh isi alam termasuk jin, haiwan, tumbuhan dan seluruh cakerawala.Mudahnya, Islam adalah rangka kerja dan Piagam Madinah di zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW adalah contoh kualiti kuasa terhadap konsep dalam politik Islam, jelasnya.Sebab itu tegas beliau, setiap orang perlu mengetahui dan memahami apa itu Islam dan setiap ahli politik yang berkuasa mesti membezakan apa yang betul dan dikehendaki Islam dan yang dilarang.Untuk terus kekal aman dan harmoni serta stabil pula, masyarakat dan pemimpin Malaysia tambah Dr. Chandra, kena tahu masalah luar khususnya barat sebelum mengguna pakai dan terima cara mereka.(Utusan, 17 Jun 2008, Ms 10, Mega)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment